Kejutan Ibu Hamil Buat Ramai Sebak Persoalannya Terjawab

Sebak dan menyentuh hati. Itulah gambaran perasaan sesiapa sahaja yang melihat kasih sayang keluarga ini sebaik sahaja dimaklumkan mengenai berita kehamilan salah seorang ahli keluarga mereka.

Video perkongsian Wan Nabila Sarah W. Rusdi yang membuat kejutan istimewa kepada keluarganya selepas dua bulan hamil menjadi tular dan ditonton kira-kira 475,000 kali di Twitter.

Malah video itu turut diulang kicau (retweet) sebanyak 25,499 kali dan mendapat 29,112 tanda suka (like).

Rata-rata netizen mengalirkan air mata gara-gara sebak melihat video menyentuh hati itu.

Wan Nabila Sarah berkata dia tidak menjangka video yang dimuat naiknya sekadar suka-suka untuk dijadikan kenangan mendapat perhatian netizen.

“Saya hanya ingin berkongsi momen indah bersama keluarga untuk dijadikan kenangan. Ia antara momen paling berharga dalam hidup saya.

“Memang saya terkejut, tak expect langsung video ini akan viral sebab ia lebih spesifik kepada diri saya, sesuatu yang peribadi,” katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia dan suaminya, Mohamad Ashraf Mohamad Haled sebenarnya merancang untuk tidak memiliki anak dalam tempoh terdekat.

“Kalau boleh saya dan suami mahu mempunyai anak selepas suami tamat belajar sekurang-kurangnya dua tahun lagi. Bila saya tahu saya hamil, saya amat terkejut… suami pun sama.

“Kami tak expect langsung sebab kalau boleh kami mahu keluarga kami stabil dulu. Tapi itulah, kita hanya merancang tapi Allah sebaik-baik perancang. Kami bersyukur di atas rezeki yang Allah berikan,” katanya yang kini sedang hamil lima bulan.

Ditanya mengenai reaksi keluarganya, Wan Nabila Sarah berkata mereka amat gembira apabila mengetahui dirinya hamil.

“Mereka sangat gembira terutamanya nenek saya yang sering bertanya bila lagi (nak dapat anak) memandangkan saya dan suami sudah berkahwin selama dua tahun.

“Saya sangat rapat dengan nenek. Dia jaga makan minum saya sejak dari kecil sehingga sekarang dengan penuh kasih sayang. Kalau anda lihat dalam video tu dia antara orang paling gembira,” katanya.

Wan Nabila Sarah yang juga guru Bahasa Perancis turut meluahkan rasa terharu dengan kata-kata netizen yang memuji hubungan akrab keluarga mereka.

“Keluarga saya memang jenis expressive bila tunjuk sayang kami. Kami memang rapat. Situasi seperti itu sudah biasa dalam keluarga kami.

“Memandangkan ibu bapa saya tinggal di Kuala Lumpur jadi senang anak-anak nak datang. Kami memang selalu jumpa hampir setiap minggu. Alhamdulillah,” katanya.

Menceritakan saat kehamilannya, gadis berusia 27 tahun itu mengakui tidak menyedari dirinya mengandung pada hujung tahun lalu.

“Saya sempat pergi Amerika Syarikat (AS) dengan ibu mertua berdua. Saya memang tak tahu langsung. Sampaikan saya angkat beg berat dan siap naik roller coaster lagi.

“Waktu tu dah pregnant sebulan. Nasib tiada apa-apa buruk berlaku. Allah memang sudah takdirkan rezeki anak ini untuk saya dan suami,” katanya.

Pada masa sama, Wan Nabila Sarah turut menjelaskan gelaran Tok Wan dalam video tersebut merujuk kepada bapanya.

“Ramai orang keliru, Tok Wan tu sebenarnya ayah saya sebab ramai orang ingat (panggilan) nenek saya. Orang juga ingat anak dalam kandungan saya cucu sulung tapi sebenarnya cucu ketiga sebab kakak saya dah ada dua orang anak.

“Saya rasa kalau adik bongsu saya kahwin nanti dan dia bakal dapat anak, keluarga saya juga akan beri reaksi sama. Ini kerana ibu bapa saya memberikan kasih sayang sama rata kepada kami adik beradik. Mereka amat teruja,” katanya yang dijangka bersalin pada Ogos ini.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. Tv Lejen

Sumber : mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*